Tuesday, January 29, 2008

KEMENANGAN YANG TIDAK DIDUGA 2008

Pada 29Januari 2008, hari Selasa bertempat di Dewan Bankuet,DBP Kuala Lumpur aku menghadiri majlis Penyampaian Hadiah Saayembara Mengarang Sempena 5O TAHUN MERDEKA dan aku memilih genre cerpen untuk pertandingan ini. Syukur alhamdulillah, aku telah mendapat johan dalam pertandingan ini. Tajuk cerpenku MALAR HIJAU. Majlis telah dirasmikan oleh YB Dato' Seri Syed Hamid Albar, Menteri Luar Negeri Malaysia. Tempat kedua dimenangi oleh Prof Emeritus Dato' Shahnon Ahmad dengan cerpennya bertajuk Papan Sekeping. Tempat kedua seterusnya Aminah Mokhtar dengan cerpennya Istana Cinta Ayah. Ketiga Abdul Rahman Che Mat, cerpennya Seekor Anjing Kurap dan Sebungkus Nasi dan tempat ketiga seterusya Mahizan Hussain dengan tajuk cerpennya Lirik Jazz Red Baker. SAGU HATI pula Wahyu Budiwa Rendra A.Wahid,Haji Mohamed Ayob Yasin, Zul Fikri Zamir Mohamad Munir, Ahmad Nazri Mohd.Sham, Shahnon Ahmad,Asmidar Alias, Masniah Kalyubi, Rahimah Muda, Nor Faridah Abdul Manaf dan Ruhaini Matdarin.
Pada majlis itu aku ingin bertemu Mahaguruku semasa mengajarku subjek Penulisan Kreatif, siapa lagi kalau bukan Dato' Shahnon Ahmad. Malangnya beliau tidak hadir. Namun aku mengucapkan ribuan terima kasih dengan beliau kerana banyak membimbingku. Semasa di universiti Cerpen Gingga Maru terhasil dan tersiar di Dewan Sastera kerana bimbingannya. Terima kasih Dato'.

Sunday, January 27, 2008

ANUGERAH JUARA LAGU KE 22.

Aku tidak pernah ketinggalan menonton anugerah Juara Lagu sejak dahulu hinggalah sekarang. Tadi aku telahpun menontonnya sambil menyiapkan kerja sekolah dan beberapa tekaanku sebagai juri profesional tidak rasmi di rumah ada yang tepat dan tidak. Cuma aku tidak berapa setuju dengan persembahan terbaik. Aku kasihan dengan peserta-peserta yang buat persembahan menarik disertai vokal yang mantap dan SENTIASA ADA KELAINAN! kerana aku pernah menyaksikan persembahan artis lelaki tersebut di hotel dan persembahan pada malam itu tidak ada kelainan. Stariotaip. Bila artis itu keluar sahaja ada ahli keluarga yang menjerit "mesti ada silap mata! Tengoklah.." Rupa-rupanya tepat. Sebagai peminat, aku mahukan kelainan daripadanya.
Aku cukup suka dengan persembahan Datuk Siti, Aisyah dan Ramlah Ram. Mendengar suara Ramlah Ram aku seperti dibuai gelombang. Suaranya terlalu asyik. Aku terpesona dengan senikata lagu Dirgahayu tersebut. (Begitu juga dengan lagu Samudera.) Terlalu puitis. Pengunaan unsur tanah, air, api dan angin membuai perasaan. Nasib baik vokal terbaik dan kategori yang lain ada markah dari juri.... JIKA TIDAK ....... ANDA SENDIRI TAHU RENTAK DAN PLOT KESUDAHANNYA. Namun begitu sekalung tahniah kepada peserta-peserta yang memberikan persembahan yang terbaik... Dan mantap, walaupun di sudut hati mereka mengharapkan minda penontonnya bijak membuat pengundian.

Melihat artis yang melaram dengan baju yang mahal tetapi murah dari segi kesopanan.... Berkemban, belah sana sini dan ada yang pendek.... Sudah tiba masanya mereka BERHIJRAH DALAM KEHIDUPAN, daripada yang tidak elok kepada yang elok dan aku berdoa mereka semua berpakaian lebih baik pada masa akan datang. Amin. Biarlah hari ini lebih baik daripada hari semalam dan hari esok lebih baik daripada hari ini. Kerana kita BARU SAHAJA MENYAMBUT MAAL HIJRAH. Tahun baru dalam kalender Islam.

Saturday, January 26, 2008

REZEKI MENUNAIKAN FARDU HAJI (2)


ALLAH MAHA KAYA. MAHA PEMURAH DAN MAHA PENYAYANG. Semasa di Mekah, abangku Rohaizat bin Yon (yang juga menunaikan fardu haji - seminggu lebih awal daripadaku) juga telah Allah berikannya rezeki. Semasa di Mekah beliau telah mendapat panggilan telefon daripada pihak Telekom bahawa beliau memenangi pertandingan cogan kata kreatif dan merupakan pemenang musim itu - kalau tidak silap November 2007. Sebelum wukuf di Arafah beliau dapat berita gembira itu dan antara pemenang pada tahun 2007 beliau dan pemenang yang lain akan ditandingkan sekali lagi untuk dipilih JUTAWAN. Sebagai bakal jutawan, beliau menerima pakej percutian di Beijing untuk menyaksikan sukan olimpik 2008. Hadiah telah disampaikan di Menara Telekom KL dan puteri-puteri abangku Fatin Zafira, Fatin Izni Izzati dan Fatin Alia Syaza mewakili ayah mereka.
Mungkin itu berkat beliau menjadi tetamu Allah. Juga berkat semasa di bumi suci tersebut beliau sering membantu insan-insan yang memerlukan. Walaupun abangku adalah jemaah haji, tetapi sebagai seorang doktor dan seorang berjawatan agak penting di Kementerian Kesihatan dia tetap membantu mereka yang sakit ketika di MINA dan lain-lain tempat meski itu bukan tugasnya - tetapi tugas orang-orang bawahannya, tetapi dasar kemanusiaan dia tetap membantu. Seperti mana satu ketika dahulu semasa di Malaysia - ketika aku dalam pejalanan ke Hospital Johor Bahru untuk menziarahi abah di Hospital JB aku terpandang kereta abangku di tepi jalan. Aku terperanjat kerana beliau dari KL juga mahu ke Hospital JB. Rupa-rupanya dia membantu beberapa orang yang terlibat dalam kemalangan ngeri. Memberikan bantuan pernafasan dan segala yang berkaitan dengan bantuan kecemasan. Ramai yang cedera parah dan ada yang meninggal dunia. Bajunya penuh dengan darah. Selepas itu tiba di hospital, bapaku pula koma di hadapan matanya.... Akhirnya dia sendiri menyelamatkan bapaku yang pengsan secara tiba-tiba. Mengepam dada dan lain-lain kerana ketika itu cuti umum... Doktor lambat tiba. hampir dua bulan bapaku di hospital. Dan selepas itu hampir dua tahun dia mengecap kemanisan hidup di dunia. Kini bapaku pergi buat selama-lamanya. Tetapi peristiwa abangku merawat sendiri abah di hospital tetap tidak akan beliau lupa sampai bila-bila.



Rezeki menunaikan fardu haji


Syukur alhamdulillah... dengan izin Allah, Allah memberikan aku rezeki. Rezeki yang tidak disangka. Cerpenku Malar Hijau yang kuhasilkan untuk menyertai Sayembara Mengarang Cerpen sempena 50 tahun Merdeka mendapat tempat ? (masih belum diketahui lagi) dalam majlis penyampaian hadiah yang akan berlangsung di DBP Kuala Lumpur pada 29Jan 2008. Sudah hampir setahun pertandingan itu berlalu, aku ingatkan Malar Hijau hanya tinggal Malar Hijau.... Rupa-rupanya rezeki menyebelahiku. Sebenarnya Malar Hijau aku mahu jadikan sebuah novel tetapi kekangan waktu menyebabkan aku memilih genre cerpen. Sekembali dari Kuala Lumpur akan kunyatakan tempat ke berapakah kedudukanku dalam pertandingan tersebut. TERIMA KASIH YA, TUHAN.

Thursday, January 10, 2008

sekembali dari Mekah




Syukur aku kehadrat Allah SWT kerana dengan limpah dan kurnianya aku selamat mengerjakan fardu haji - bermula tarikh 23Nov 2007 berakhir 6Jan2008 aku bermastautin di Tanah Arab. Aku bersyukur kerana dapat menatap wajah kaabah yang sering kurindukan. Selepas 8 hari aku berada di Madinah dan dapat mengerjakan solat berjemaah di masjid kesayangan Nabi Muhammad SAW sebanyak 40 waktu aku berangkat ke bandar suci Mekah.
Aku tidak dapat melupakan bagaimana ketika berada di Raudah untuk menziarahi makam nabi dan sahabatnya aku terpaksa bertarung dengan selaut manusia yang juga mahu ke sana. Himpitan dan tolakkan sentiasa berlaku. Satu ketika selepas dapat solat di Raudah dan mahu kembali ke hotel, aku tertinggal kasut yang diisi di dalam beg. Aku segera kembali ke Raudah walaupun dihalang pekerja masjid. Ya, Allah. Tiba-tiba sahaja ada pintu yang terbuka dan aku menuju ke Raudah. Dalam kumpulan manusia yang bertubuh tegap aku terpandang kasutku yang terjatuh. Rupa-rupanya Allah maha kaya, gara-gara kasut tertinggal rupa-rupanya Allah memberiku peluang untuk bersembahyang di sana dan berdoa di tempat mustajab tersebut. Luluh jiwaku dengan keajaiban yang Allah berikan kepadaku. Terima kasih Tuhan!
Di depan kaabah... Air mataku berderai. Betapa indahnya Masjidil Haram dan Kaabah yang menjadi kiblat umat Islam di seluruh dunia. Di sana aku berdoa memohon kebahagiaan dan keberkatan di dunia dan akhirat. Ketinggian ilmu dan limpahan rezeki di samping keampunan dosa ibu bapa, anak-anak, sanak saudara, sahabat handai dan umat Islam di seluruh dunia.
Kini aku di tanah air, Kaabah tetap melambai di depan mata. Rinduku menghijau semula. Air mataku tetap mengalir mengenangkan betapa aku bersyukur diberi peluang menjadi tetamu ALLAH.