Saturday, September 22, 2007

Nurin Jazlin - alfatihah untukmu

Sebak dada ini, menatap wajah comelmu,
saban waktu ketika di dalam pencarian,
sepurnama lamanya,
dan apabila terbongkar rahsia,
kau pergi juga akhirnya
dalam keadaan yang tidak dapat kubayangkan
akan azab dan sengsara
diperlakukan bagai boneka
sedangkan kau pasti
meratap
merayu
bebas dari sangkar derita.

Puteri Comel penghuni syurga,
sederita mana ketikamu di maya ini,
kau pasti dijanjikan syurga
dengan wajah seindah bidadari.

Puteri comel penghuni syurga,
terimalah alfatihah, sekalung doa
buatmu sayang,
moga ayahanda dan bondamu tetap tabah
dugaan Tuhan penuh rahsia
kerana kami
tetap bersimpati,
dan
moga rohmu sejahtera menemui Ilahi.

Terima kasih Ramadan

Terima kasih Ramadan,
kehadiranmu sentiasa dinanti,
mengajar erti kesabaran
erti keimanan.

Terima kasih Ramadan,
kehadiranmu kali ini,
aku dianugerahi kesejahteraan,
aku dianugerahi kesihatan menakjubkan,
terima kasih TUHAN,
mendengar segala rayuan,
segala aduan,
hambaMu yang pernah ditimpa dugaan.

Sunday, September 16, 2007

selamat beribadat dalam bulan RAMADAN

walaupun kita berjauhan,
kita berbeza cita rasa dan pendapat,
kita tidak mengenali hati budi masing-masing,
kita tidak berkesempatan meluah rasa
meluah bicara,
namun kita tetap bersama
dalam menghayati bulan yang mulia
dalam menyelusuri dada keimanan
IAITU BULAN NAN SATU
RAMADAN AL MUBARAK
payungan dan naungan
yang tidak pernah membezakan
menjarakkan ruang
kita dengan TUHAN nan satu.

Saturday, September 8, 2007

Perasmian Tugu tentera Australia di Pt sulong

Pada 4 September - Selasa, aku dan pelajar-pelajar Tingkatan 6 bawah ke Parit Sulong untuk menyaksikan perasmian tugu memperingati tentera Australia yang terbunuh di Parit sulong semasa menentang Jepun semasa Perang Dunia ke 2 (1942).

Apa yang paling menarik dan aku terharu pada keesokkan harinya pengarang buku sejarah PT Sulong iaitu Lynette Ramsey Silver dalam bukunya THE BRIDGE AT PARIT SULONG: AN INVESTIGATION OF MASS MURDER.(kalau tak salah ejaannya daripada Australia ) mencari aku di sekolah kerana mahu memberikan buku yang amat berharga itu. Terima kasih Leynette! walaupun anda orang yang terkenal dalam bidang penulisan tetapi datang berjumpa aku yang daif ini. Aku merasakan kalau penulis hebat di Malaysia tidak akan mahu bagi free buku yang mahal tersebut dan mahu cari aku. Aku cari dia adalah agaknya... dan entah dilayan atau tidak... Inilah sifat-sifat berhemah yang kita perlu ada. Sementelah pula sejarah tanah air.... orang luar pula yang menulisnya.

Monday, September 3, 2007

GURINDAM JIKA KITA RASA KITA HEBAT

Jika kita rasa diri kita hebat,
belum pasti minda kita ilmunya sarat.

Jika kita rasa diri kita hebat,
alangkah baiknya berbudi pada yang dekat.

Jika kita rasa diri kita hebat,
menyombong diri segeralah diubat.

Jika kita rasa kita hebat,
keegoan yang tiba hilanglah sahabat.

Jika kita rasa diri kita hebat,
merendah diri itulah sarbat.

Tidak ada siapapun di antara kita yang hebat,
kerana ilmu yang dipetik buahnya sentiasa lebat.

Syakir belajar SMS

Syakir belajar tulis SMS. Wah! Dia cakap dengan ayahnya jika mahu beli handphone untuknya biar dia yang pilih.... wah bukan main demand lagi budak 'kecik' tu...