Wednesday, November 14, 2007

Anugerah citra majalah

Esok, 15 Dis aku dan pelajar serta rakan-rakan guru akan ke Hotel M Suit untuk menghadiri majlis penyampaian hadiah anugerah citra majalah 2007. pelajarku dapat 2 anugerah genre cerpen dan 2 puisi. Semoga anak-anak didikku berjaya dalam dunia penulisan. Amin. Tahniah untuk mereka.

Menunaikan Fardu Haji




Alhamdulillah... Jika diizinkan Allah... Aku akan menunaikan fardu Haji bersama suami, ibu mertua, mak saudara dan bapa saudara sebelah suami. Kami pergi berenam. 23Dis ini kami akan bertolak dari Kelana Jaya. Ya, Allah aku bersyukur padaMu ya, Allah kerana walaupun baru mendaftar dengan Tabung Haji pada penghujung 20005 aku dapat menjadi tetamuMu ya,Allah. Aku bersyukur dan benar-benar bersyukur... Hasrat untuk pergi bersama ibu mertua terlaksana juga kerana ibu mertuaku berjaya ke sana kerana sebelum ini pihak Tabung Haji mengatakan ibu mertuaku tidak layak ke Mekah kerana dia sudah beberapa kali ke Mekah dan untuk tahun 2007 ini seseorang yang ingin menunaikan fardu haji mestilah sekurang-kurangnya selepas 5 tahun menunaikan haji. Atas berkat kesungguhanku dan pertolongan saudara di Tabung Haji KL akhirnya ibu mertuaku dibenarkan ke sana. Hasrat ibu mertuaku sangat mulia kerana dia ingin membantu aku dan suami serta yang lain dalam kumpulan kami. Ya, Allah jauhilah kami dari rintangan dan halangan semasa menunaikan ibadat.Berikanlah keselesaan kepada kami ya, Allah. Selamatlah kami pergi dan balik. Begitu juga dengan anak-anak dan mereka yang kami tinggalkan di tanah air. Semoga kami dapat mengerjakan haji yang mabrur. Yang diterima olehMu. AMIN.
***
Cepatnya waktu berlalu, gambar di atas adalah ketika aku di bumi Mekah. Menjadi tetamu Allah. Kaabah berada di belakangku setelah aku selesai menunaikan tawaf haji. Selepas solat di depan kaabah, aku menuju ke tempat air zam-zam. Seterusnya mahu mengerjakan saie pula. Ternyata air zam-zam memberikan kekuatan baru apabila aku meneguknya dan memohon kepada Allah agar menyembuhkan segala penyakit.

Wednesday, October 24, 2007

Latihan Bercerita Cerita Rakyat/penglipurlara

Setiap hari jam 2.45 petang hingga jam 4.00 petang aku akan melatih pelajar untuk persediaan pertandingan Bercerita cerita Rakyat peringkat kebangsaan. Apabila kerap berlatih, persembahan pelajarku semakin mantap berbanding semasa peringkat negeri. Semoga dia berjaya mendapat tempat yang terbaik. Insaallah........

Thursday, October 18, 2007

HARI RAYA AIDIL FITRI

Tahun ini malam hari pertama Hari Raya Aidil Fitri aku dan keluarga berada di Parit Raja kerana pada tahun lalu giliran di Parit Sulong. Pada jam 5 pagi aku ke rumah ibu mertua membantunya memasak juadah seperti lodeh, ayam masak kicap, sambal tumis udang dan sebagainya. Tahun ini agak kelam kabut sedikit, maklumlah hari Rabu baru cuti bermula, aku baru sahaja hendak mengemas. Seminggu sebelum Hari Raya aku terlibat melatih anak murid Pertandingan Bercerita Cerita Rakyat. Setiap hari pula jam 3.30 aku akan kem rumah ibu mertua yang terletak berhampiran dengan rumahku untuk memasak hidangan berbuka puasa. Malam baru pulang ke rumah. Itulah rutin hidupku yang menyebabkan masa untuk mengemas di rumah sendiri tiada.
Selepas bermaafan dan ke pusara bapa mertua, aku balik ke Parit Sulong. Petangnya aku kembali semula ke Parit Raja untuk melakukan persiapan kerana pada pagi Hari Raya ke dua ada marhaban. Aku hanya masak kuetiou kerang dan kebab. Selesai majlis aku kembali ke Parit Sulong kerana malamnya aku dan keluarga mengadakan tahlil arwah abah. Sekali lagi aku memasak. Menunya ikan siakap 3 rasa, sup campur (cendawan, tahu kering, telur putih kukus, karet dann soon), tahu masak halia(ala-ala tahu Jepun), ayam kampung masak kari tanpa santan dan sambal belacan serta ulam. Seronoknya, hilang penat aku memasak kerana tetamu makan dengan seleranya. Selesai majlis, kawan baikku semasa study di USM singgah ke rumah. Mereka sekeluarga dalam perjalanan ke Kuala Lumpur.

Tuesday, October 9, 2007

Johan Penglipur lara

Pada 6 okt.2007, Hari Sabtu bertempat di Hotel Good Hope sekudai, Johor telah diadakan Pertandingan Bercerita Rakyat. Anak muridku Mohd.Rezlan memasuki pertandingan ini. Syukur alhamdulillah, dengan izin Allah anak muridku Johan dalam pertandingan peringkat negeri. selepas Hari Raya akan bertandingan peringkat kebangsaan pula di Kuala Lumpur.
Kami berjanji akan melakukan yang terbaik. Bukan senang hendak menjadi seorang penglipu lara. Bakad bergurindam, syairdan sebagainya seperti bermain alat muzik tradisional semuanya perlu ada di samping kepetahan berkata-kata. Ini adalah gambar anak muridku yang telah kosolek menjadi orang tua. KASIHAN LAN... MASIH REMAJA TERPAKSA BERLAKON JADI TUA... JANGAN MARAH LAN. CIKGU TERPAKSA BUAT BEGITU UNTUK MENGHIDUPKAN SUASANA.
Setelah dua bulan berlalu... Pertandingan peringkat kebangsaan yang sepatutnya diadakan pada bulan november kemudian ditangguh ke bulan Disember 2007 tetapi apabila aku pulang dari Mekah pertandingan tertangguh lagi. Peserta ada yang tengah exam SPM dan mungkin dibawa ke tahun 2008. OKLah tu....

Wednesday, October 3, 2007

CERPEN BAJU KURUNG TELUK BELANGA

Hari ini tentulah aku seronok, cerpenku bertajuk Baju Kurung Teluk Belanga tersiar dalam Majalah Dewan Sastera untuk keluaran bulan Oktober. Tetapi aku belum memiliki majalah tersebut. Kakak angkatku yang telefon memberitahu bahawa karyaku itu tersiar dalam majalah arus perdana tersebut. Tak sabar rasanya nak menatap karya sendiri.

PERTANDINGAN CERITA RAKYAT

Pada 6Oktober 2007 ini seorang pelajarku akan mewakili sekolah untuk pertandingan Bercerita Cerita Rakyat. Bertempat di Hotel Goodhope Sekudai JB. Dalam tempoh tidak sampai seminggu aku melatih pelajarku Mohd.Rezlan untuk menjadi seorang penglipur lara. Menyiapkan sedikit prop. Aku menghasilkan gerbang dan gunung kerana Cerita Hikayat Raja Donan ini berlatar belakangkan Negeri Gunung Mandi Angin. Kasihan juga anak muridku ini yang terpaksa mengafal syair dan melagukan gurindam, narasi dan seloka. Tetapi untuk menyertai pertandingan yang diwakili setiap daerah bagi peringkat negeri, aku dan pelajar akan lakukan yang terbaik. Kebetulan Rezlan adalah pelajar Tingkatan 6 Bawah Terbilang. Dia sememangnya berbakat.

Saturday, September 22, 2007

Nurin Jazlin - alfatihah untukmu

Sebak dada ini, menatap wajah comelmu,
saban waktu ketika di dalam pencarian,
sepurnama lamanya,
dan apabila terbongkar rahsia,
kau pergi juga akhirnya
dalam keadaan yang tidak dapat kubayangkan
akan azab dan sengsara
diperlakukan bagai boneka
sedangkan kau pasti
meratap
merayu
bebas dari sangkar derita.

Puteri Comel penghuni syurga,
sederita mana ketikamu di maya ini,
kau pasti dijanjikan syurga
dengan wajah seindah bidadari.

Puteri comel penghuni syurga,
terimalah alfatihah, sekalung doa
buatmu sayang,
moga ayahanda dan bondamu tetap tabah
dugaan Tuhan penuh rahsia
kerana kami
tetap bersimpati,
dan
moga rohmu sejahtera menemui Ilahi.

Terima kasih Ramadan

Terima kasih Ramadan,
kehadiranmu sentiasa dinanti,
mengajar erti kesabaran
erti keimanan.

Terima kasih Ramadan,
kehadiranmu kali ini,
aku dianugerahi kesejahteraan,
aku dianugerahi kesihatan menakjubkan,
terima kasih TUHAN,
mendengar segala rayuan,
segala aduan,
hambaMu yang pernah ditimpa dugaan.

Sunday, September 16, 2007

selamat beribadat dalam bulan RAMADAN

walaupun kita berjauhan,
kita berbeza cita rasa dan pendapat,
kita tidak mengenali hati budi masing-masing,
kita tidak berkesempatan meluah rasa
meluah bicara,
namun kita tetap bersama
dalam menghayati bulan yang mulia
dalam menyelusuri dada keimanan
IAITU BULAN NAN SATU
RAMADAN AL MUBARAK
payungan dan naungan
yang tidak pernah membezakan
menjarakkan ruang
kita dengan TUHAN nan satu.

Saturday, September 8, 2007

Perasmian Tugu tentera Australia di Pt sulong

Pada 4 September - Selasa, aku dan pelajar-pelajar Tingkatan 6 bawah ke Parit Sulong untuk menyaksikan perasmian tugu memperingati tentera Australia yang terbunuh di Parit sulong semasa menentang Jepun semasa Perang Dunia ke 2 (1942).

Apa yang paling menarik dan aku terharu pada keesokkan harinya pengarang buku sejarah PT Sulong iaitu Lynette Ramsey Silver dalam bukunya THE BRIDGE AT PARIT SULONG: AN INVESTIGATION OF MASS MURDER.(kalau tak salah ejaannya daripada Australia ) mencari aku di sekolah kerana mahu memberikan buku yang amat berharga itu. Terima kasih Leynette! walaupun anda orang yang terkenal dalam bidang penulisan tetapi datang berjumpa aku yang daif ini. Aku merasakan kalau penulis hebat di Malaysia tidak akan mahu bagi free buku yang mahal tersebut dan mahu cari aku. Aku cari dia adalah agaknya... dan entah dilayan atau tidak... Inilah sifat-sifat berhemah yang kita perlu ada. Sementelah pula sejarah tanah air.... orang luar pula yang menulisnya.

Monday, September 3, 2007

GURINDAM JIKA KITA RASA KITA HEBAT

Jika kita rasa diri kita hebat,
belum pasti minda kita ilmunya sarat.

Jika kita rasa diri kita hebat,
alangkah baiknya berbudi pada yang dekat.

Jika kita rasa diri kita hebat,
menyombong diri segeralah diubat.

Jika kita rasa kita hebat,
keegoan yang tiba hilanglah sahabat.

Jika kita rasa diri kita hebat,
merendah diri itulah sarbat.

Tidak ada siapapun di antara kita yang hebat,
kerana ilmu yang dipetik buahnya sentiasa lebat.

Syakir belajar SMS

Syakir belajar tulis SMS. Wah! Dia cakap dengan ayahnya jika mahu beli handphone untuknya biar dia yang pilih.... wah bukan main demand lagi budak 'kecik' tu...

Wednesday, August 29, 2007

Pelancaran Tugu Peringatan di Pt.Sulong

Esok khabarnya ada perasmian tugu di Parit sulong. Ingin hendak pergi bawa pelajar.Memperingati zaman Perang Dunia Kedua ketika Tentera Komenwel menyerang Jepun.

Alahai... Nak membeli tetapi akhirnya belah....

Hari Rabu, aku dan adik-adik peserta mesyuarat ke bandar Kuah. Sedang asyik berjalan, akhirnya tiba-tiba seperti nak pitam. Mungkin agaknya sebab semalam berpuasa. Makan pula tiada selera. Minum pula kurang... jadi oksigen tidak sampai ke kepala. Lepas itu akupun minum air satu setengah botol kecil dan sekotak air milo. Sebabnya satu hari ini aku tidak mengambil apa-apa air manis selain secawan air suam. Selepas itu tenaga kembali, esok pula aku bakal menapak jauh kerana kapal terbang dari Bayan Lepas... Naik feri dan dari Kuala Perlis ke Butterworth.

Tuesday, August 28, 2007

3 hari yang merunsingkan

3 hari berada di Pulau Lagenda ini aku merasakan sesuatu yang menakutkan... Apa tidaknya ketika di sini aku belum melakukan apa-apa tugas kerana bahan masih berada pada Encik Zubir. Beliau pula dikatakan tidak sihat dan tidak akan hadir ke Langkawi. Ya, Allah... Janganlah kerja yang diamanahkan kepadaku tidak berjaya diselesaikan pada hari ini dan juga malam ini. Tolonglah ya.. Allah. Amin.

Monday, August 27, 2007

Hai, tak sangka jadi pelakon!

Drama "Rajuk Raya" yang menjalani pengambaraan di Parit Raja memberikan kenangan manis buat aku dan pelajar-pelajar. Apa tidaknya, tanpa disangka PR Syarikat Network menghubungi aku mengatakan beberapa watak pembantu tiada. Aku membantu mencarinya. Untuk watak Kak Da aku beri kepada kawanku Cikgu Izatul Asikin. Watak ibu Wati kepada Cikgu Halimah. Watak kanak-kanak... Anak aku sendiri Mohamad Syahmi. Budak-budak bola jaring... pelajar-pelajarku. Aku sendiri berlakon sebagai jurulatih. Aduhai, begitu memenatkan! Shooting kat cuaca panas terik! Ulang skrip banyak kali untuk mencari sudut yang sesuai.... Nasib baik aku cikgu! Rupa-rupanya bukan senang buat drama... Tetapi bersama krew syarikat tersebut memberikan ilmu baru tentang perfileman.... Berjumpa artis dan pengarah. Yang manisnya.. Kami semua dapat bayaran. KITA NANTIKAN DRAMA TERSEBUT DI RTM PADA HARI RAYA PERTAMA HINGGA KELIMA UNTUK 5 EPISOD. Masanya belum ditetapkan lagi. Tunggu RTM. Penolong pengarahnya ada mengalakkan aku buat skrip drama TV. Entahlah... kalau buat pun mesti tidak ada adegan yang "PANAS" kerana drama dan filem juga satu ibadah untuk menasihati masyarakat agar menerima pengajaran daripada apa yang disajikan... SELAMAT MENONTON DRAMA TERSEBUT!

Antologi Baju Kurung Teluk Belanga

Antologiku bakal terbit. Antologiku ini untuk kegunaan Perpustakaan sekolah seluruh Malaysia. Terima kasih Cikgu Azizul... Kerana membantuku menerbitkan antologi idamanku ini... TERIMA KASIH CIKGU!

AMBANG MERDEKA

4 hari lagi kita akan menyambut ulang tahun kemerdekaan negara yang ke50. Aku ada masuk peraduan menulis cerpen anjuran DBP yang bertemakan 50 tahun Malaysia merdeka. Nampaknya tidak ada khabar berita... Tak dapat tempat di hati pengadillah tu... Aduhai.. Cerpen Malar Hijau itu tidak terus malar mendapat anugerah!

Malam Nispu Sa'aban.

Nampaknya malam ini tidak dapatlah aku membaca yasin... Kerana berada di Pulau Langkawi, ada mesyuarat. Sepatutnya yasin dibaca 3 kali dan berdoa mohon dipanjangkan umur, murah rezeki dan ditetapkan iman. Ruginya.... Jadi aku berpuasa sahajalah untuk mendapatkan sedikit fadilat malam dan hari tersebut. Mudah-mudahan aku boleh tahan menahan diri daripada lapar dan dahaga. Insaallah. Hai gastrik janganlah kau datang... Dan kalau boleh tak payah hadir dalam hidupku kerana gastrik amat memeritkan. Tuhan... Terimalah ibadatku Ya, Allah. Amin.

ALBUM KENANGAN DI USM 90AN...

Patutlah aku dihantar ke Pulau Lagaenda ini buat kali kedua Mesyuarat Laman Web MySchoolnet.... Rupa-rupanya aku ditemukan dengan seorang kenalan lama semasa belajar di USM Pulau Pinang, iaitu si Yusuf. Melaluinyalah aku dapat alamat rakan-rakan yang lain semasa belajar di USM iaitu Aziz, Sukri, Nizam dan lain-lain. Nampaknya album kenanganku bersama mereka zaman 90an terbuka kembali. Bolehlah aku menghubungi mereka... yang pentingnya boleh bertukar-tukar soalan peperiksaan SPM dan STPM.

Saturday, August 11, 2007

Israk dan Mikraj - Rejab

Hari ini 27 Rejab. Aku berpuasa. Hari ini hari kedua aku berpuasa. Sebenarnya kalau diikutkan sejak satu Rejab aku ingin berpuasa. Tetapi kepekatan darahku hanya 10.1 ! Kurang darahlah tu. Hari ini dah ok. Jadi aku menahan diri dari lapar dan dahaga. Semoga Allah memberikan aku kesihatan yang baik dan dapat menunaikan ibadah puasa.

Rajuk Raya2

Ahad ini pengambaraan Rajuk Raya akan diadakan di Taman Wira, Parit Raja. Watak Tina dan Wati akan terlibat. Mereka akan menempah baju di rumah pak Meon. Wujud watak ibu kepada Wati.

Friday, August 3, 2007

Rajuk Raya

Bulan Ogos ini RTM akan membuat pengambaran drama 5 episod di sekolah SMK Tun Ismail. Beberapa orang pelajar sekolahku akan menjadi pelakon tambahan. Drama 5 episod untuk tayangan hari Raya pada tahun ini bertajuk "Rajuk Raya".
Kini setelah hari-hari berlalu, semalam 20September aku terbaca di akhbar bahawa Drama tersebut akan disiarkan di RTM saluran 2 jam 4.30 petang bermula 14Oktober hingga 18Oktober 2007. Anakku Muhammad Syahmi tidak sabar menontonnya.. Almaklum ada sedikit wataknya dalam drama bersiri tersebut. Yang lucunya apabila dia beritahu kawan-kawannya.... Semua tidak percaya. Kasihannya....

Tuesday, July 24, 2007

SYAIR MERDEKA (2)

SETELAH 50 TAHUN MALAYSIA MERDEKA,
AMAN SENTOSA NEGARAKU CERIA,
MELAYU, CINA DAN INDIA,
BERSATU HATI BAGAI BERSAUDARA.

TEKNOLOGI MAKLUMAT DI HUJUNG JARI,
TERKENAL MALAYSIA SEGENAP BUMI,
HASIL MAHSUL BERPETI-PETI,
MAKA MANTAP POLITIK DAN EKONOMI.

Thursday, July 19, 2007

Syair 50 tahun Malaysia merdeka

Malaysia 50 tahun telah merdeka,
negara dan rakyat sentiasa terbela,
perpaduan terjamin negara sejahtera,
terkenal seluruh serata dunia.

Negara maju terus cemerlang,
kejayaan rakyat sentiasa dijulang,
Malaysia makmur rakyatnya penyayang,
menuju ke arah gemilang terbilang.

Sunday, July 15, 2007

Gurindam 50 Tahun Merdeka

Kalau selalu hidup bersatu padu,
itu tanda negarakan maju.

Kalau sentiasa rajin bekerja,
Itu tanda negera beroleh sejahtera.

Kalau rakyat berjimat cermat,
Itu tanda kita beroleh rahmat.

Kalau kita cemerlang gemilang,
Itu tanda Malaysia negara terbilang.

Thursday, July 12, 2007

Pantun Merdeka

Indah berseri cincin delima,
bertatah permata elok dipakai,
Malaysia kini 50 tahun merdeka,
negara kita aman dan damai.

Pakai baju baju kebaya.
buat bersanding pengantin berseri,
Bersatu padu rakyat sejahtera,
sama-sama bersaing memantap ekonomi.

Wednesday, July 11, 2007

Demam

Minggu ini minggu demam. Minggu senggal-senggal badan. Cuaca yang tidak menentu menyebabkan fenomena ini berlaku. Angin kering. segalanya bagaikan menggigit tulang belulang dan daging yang melekat di tubuh.

Monday, July 9, 2007

Minggu yang meletihkan


Minggu ini banyak program di sekolah. Letih. hingga demam. Balik rumah terus membasuh dan memasak. Tiada rehat. Namun hati bahagia dalam menjalankan tanggungjawab sebagai seorang pendidik dan suri rumah. Keihklasan itu penting. Jika ikhklas, bagaimana penatpun jiwa tetap bahagia. Bukankah mudahnya seorang wanita mendapat PAHALA.... Insyaallah

Sunday, July 8, 2007

Pertandingan puisi


Semalam, 7Julai 2007 Pejabat Belia BP dengan kerjasama Jabatan Belia dan Sukan Negeri Johor telah menganjurkan pertandingan puisi. Ternyata ramai yang berbakat. Alhamdulillah pelajar sekolahku mendapat tempat ke3. Dapat RM 150.00

Thursday, July 5, 2007

Puisi cinta


Cinta sesama manusia kadangkala tidak kekal lama
hari ini cinta
esok mungkin dusta
hari ini sayang
esok mungkin hilang.

Cinta pada yang Satu
tetap syahdu
meresap ke kalbu
dalam rindu
kuseru namaMu
Tuhan nan satu.

Wednesday, July 4, 2007

Alamak... Banyaknya kerja


Hari ini mesyuarat analisa peperiksaan Pertengahan Tahun SPM dan STPM. Banyaknya tugas yang perlu kami laksanakan untuk memastikan 'headcount' setiap pelajar terlaksana. Pening juga kerana kena buat itu dan ini. Tetapi... Kalau aku jadi Pengetua atau Guru Penolong Kanan... Lagi aku pening, kerana aku tidak pandai mengarah orang.. Jadi... Aku sedia berkhidmat demi memajukan modal insan agar lebih berwawasan.

Monday, July 2, 2007

Dapat HEM baru

Hari ini, HEM sekolahku bertukar ke SMK Tun Sardon dan digantikan dengan HEM dari SMK Dato' Bentara Luar. Pertukaran sebegini adalah perkara biasa dan bagi Encik Mazlan yang sudah lama bertugas di SMKTI tentulah sedih juga kerana 'tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula tempat bermain'. Untuk HEM baru.... Selamat datang. Selamat menjadi warga STI

Saturday, June 30, 2007

Hari Terbuka/Gotong Royong Perdana


Hari ini Sabtu. 30Jun 2007 sekolahku mengadakan majlis Hari Terbuka dan Gotong Royong Perdana. Sebagai guru kelas Tingkatan 6 atas, aku berharap dapat berjumpa dengan ibu bapa kerana anak-anak didikku akan menduduki peperiksaan STPM sekali lagi. Pelajar di kelasku hanya ada 16 orang, daripada jumlah itu hanya 3 orang pelajar sahaja yang tidak datang bertemankan ibu atau bapanya.

Selepas jam sebelas, aku melihat pelajar-pelajar tingkatan 6 atas dan 6 bawah menyiapkan tugasan yang diamanahkan iaitu mengecat bangunan/kelas tingkatan 6 bawah dan membuat lanskap. Walaupun mereka tidak profesional, ternyata mereka memberikan kerjasama yang baik kepada PERTINA. Terima kasih

Friday, June 29, 2007

Bonda


Kini bonda sepi
kekasihnya pergi
airmata bonda mengalir di pipi
bonda menyulam kisah silam
datang dan pergi
dalam helaian diari.

Bonda,
jangan sepi lagi
kami sentiasa ada di sini
menyulam mimpi
meniti hari.

Santapan untuk ayahanda.


Terimalah hidangan ini
buat santapan untuk ayahanda,
Semangkuk doa
sedulang ayat-ayat suci,
sebakul sedekah yang kutitipkan
buat mereka yang dahagakan pertolongan.

Moga dengan santapan ini
ayahanda tidak akan lapar
tidak akan dahaga,
kerana dengan
santapan beginilah
ayahanda akan aman.

Thursday, June 28, 2007

Kehadiran DBP


Hari ini 28 Jun 2007, DBP Kuala Lumpur telah datang ke sekolahku untuk menyempurnakan majlis penyampaian hadiah "Guru Kesayanganku" yang dimenangi oleh pelajarku Nor Sadiah binti Sahir dan juga aku yang turut menerima hadian. Di samping itu juga disampaikan MDK-Majalah dalam kelas yang bertujuan untuk membantu pelajar dalam peperiksaan SPM dan juga yang berminat dalam bidang penulisan. Petangnya pula aku ke Tabung Haji, untuk bergambar dan mengambil buku kesihatan untuk menunaikan fardu haji. Apakah akan dapat ke sana tahun ini........ Hanya Allah sahaja yang maha mengetahui. Insyaallah.

Tuesday, June 26, 2007

Kerinduan.

Rindu ini tidak pernah padam
bagai bintang menemani malam
bagai bulan di celah awan
bagai mentari mengiring siang.

Rindu ini tidak pernah padam,
bagai bunga dengan tangkainya
bagai pelita dengan sumbunya,
sukar untuk melenyapkan
jenakamu yang bersahaja.

Abah... Tetap dalam kenangan.

Puisi buat Abah

Helaian hari berlalu,
setiap detik tidak pernah kulupakan
bunga-bunga kenangan
dalam rimbun kasih sayangmu.
Setahun berlalu,
segalanya masih hijau,
dengan tabah kaumenahan derita
penyakit yang menjadi rahsia,
terus membarah dan menyusuri
tiap urat nadimu.

Terimalah hadiah
buat santapanmu di alam kekal
Alfatihah buatmu, Abah....

Monday, June 25, 2007

Abah tersayang.

Hari ini genap setahun abahku meninggal dunia. sebenarnya sedih rasanya kerana bila dia sudah tiada, terasa kerinduannya. Kadangkala dahulu semasa allahyarham masih ada, dia sentiasa merindui masakanku. Kini dia sudah tiada.... Alfatihah untuknya.

Risau...risau

Hai, betul-betul hidup ini penuh dengan pengorbanan! Semenjak aku sibuk sahaja, pelajaran anak-anakku merosot habis! Ya, Allah.... Kupohon kepadaMu agar mereka kembali cemerlang dan aku akan berusaha memperbaiki kelemahanku sebagai seorang ibu.... Moga selepas ini situasi kembali seperti biasa, aku tidak akan sibuk lagi. Keluarga menjadi keutamaanku...

Guru cemerlang

Semalam aku dipanggil taklimat untuk menjadi guru cemerlang. Kalau diikutkan hati aku mahu sahaja menjadi guru cemerlang, tetapi untuk menjadi guru cemerlang bukannya senang. Banyak pengorbanan yang perlu dilakukan. Pertamanya selalu berjauhan dengan keluarga... Banyak kerja. Aku sebenarnya tidak berminat untuk menjadi pentadbir kerana aku lebih suka bersama pelajar.... Oleh itu menjadi guru cemerlang adalah yang sebaik-baiknya kerana mudah untuk menuju ke DG yang ke seterusnya. Aku sekarang ini DG 44, kalau aku mohon Guru Cemerlang dan jika berjaya, Aku dengan mudah untuk ke DG 48 dan seterusnya.... Tetapi entahlah...

Tuesday, June 19, 2007

Memulakan P&P di sekolah

Pada hari Jumaat, 15 Jun -19 Jun 2207 aku memulakan tugas mengajar. Banyak yang tertinggal dalam bab yang sepatutnya aku telah lama aku kupas. Terutama kelas 5 Fitrah dan Tingkatan 6 Atas Terbilang. Subjek Kesusasteraan Melayu yang banyak tajuknya terutama kepada pelajar tingkatan 6 benar-benar menyebabkan aku perlu bekerja dengan lebih keras lagi. Pening juga... Minit mesyuarat majalah ssekolah, minit mesyuarat Kesusasteraan Melayu, laporan Pelan Tindakan juga belum aku laksanakan...

Hari ini aku juga gembira kerana kejayaan 2 pelajar yang kubimbing. Pelajar pertama seorang perempuan- Suhada namanya. Sejak dari tingkatan 5 aku mengajarnya dalam mata pelajaran Kesusasteraan Melayu. Dia merupakan kelas tercorot, 5 KS 2. Aku katakan kepadanya, kelas apapun dia berada jika dia rajin belajar, kejayaan akan menjadi miliknya. Aku cabar dia belajar rajin-rajin agar dapat pergi tingkatan 6. Alhamdulillah... Dia dapat A dalam subjek yang kuajar dalam STPM. Kini dia bakal menjadi pelajar universiti pula dalam jurusan Kesusasteraan dengan pendidikan. Bakal menjadi guru! Siapa sangka?
Manakala seorang lagi... Rahizul. Dia mengambil STPM sebanyak 3 kali. Kali pertama semasa dalam tingkatan 6. Keputusannya hanya sederhana. Aku suruhnya ambil sekali lagi, tetapi malangnya dia ambil sambil bekerja menyebabkan keputusannya sangat teruk. Aku katakan kepadanya jika ingin berjaya harus ada pengorbanan. Berhenti kerja. Rajin-rajin berdoa kepada Allah. Bangun tengah malam. Kali ini dia benar-benar ikut kata-kataku. Walaupun aku bukan guru kelasnya lagi, tetapi perkhidmatan nasihatku tetap berterusan. Hasilnya STPMnya kali ketiga cemerlang, dan tadi dia menghubungiku dia dapat melanjutkan pelajaran ke UPSI dalam jurusan Seni dengan pendidikan. Moga apa yang kulakukan terhadap anak-anak didikku, juga akan dilakukan oleh insan lain bernama guru terhadap anakku sendiri. Suatu masa nanti. Insaallah...

Thursday, June 14, 2007

Alamak, mana beg aku?


Hari ini, hari yang kelakar.... Apa tidaknya, selepas aku sampai ke Lapangan Terbang senai, aku dan kawan-kawan menunggu beg yang penuh dengan coklat. Tapi bagaikan menanti buah yang tidak gugur, aku tidak namak kami semua bakal memperolehi beg kami. Dalam keletihan (kerana baru habis mesyuarat di Langkawi) kami melaporkan hal ini kepada pegawai Mas yang bertugas. Rupa-rupanya beg kami masih ada di KLIA. Ini memandangkan semasa di Langkawi pesawat kami lewat tiba, hampir jam satu tengah hari barulah kami diterbangkan oleh burung gergasi itu menuju ke KL. Sampai di KL, dalam keadaan tergesa-gesa, kami menaiki pesawat lain untuk ke Senai. Dalam keadaan yang tergesa-gesa, waktu yang singkat, sudah pasti beg kami tidak sempat dipindahkan ke pesawat tersebut. Akhirnya burung besi itu mendarat ke Senai, beg kami masih di KLIA! Alahai dah nasib

Wednesday, June 13, 2007

Sayonara Pulau Lagenda



Hari ini 14 Jun 2007 (Khamis) saya dan rakan-rakan mula meninggalkan Pulau Lagenda yang indah ini untuk bertemu keluarga setelah selesai mesyuarat Pembangunan Laman Web MySchoolnet dengan pihak Kementerian Pelajaran. Banyak ilmu yang kuperolehi di sini dan sesungguhnya aku gembira mendapat sesuatu yang tidak aku ketahui dan menerang mindaku yang selama ini kelabu dengan dunia IT. Harapan, moga kaca bertukar permata, semoga permata sentiasa bercahaya. Cahayanya menerang maya dan membiasi insan-insan yang lain. Insaallah...

Memori semalam di Pulau Lagenda

Pulau Lagenda


Pada 13 Jun 2007 (Rabu) saya dan rakan-rakan peserta Mesyuarat Pembangunan Laman Web Schoolnet telah melawat sekitar Pulau Lagenda-Pulau Langkawi. Antara tempat yang kami lawati ialah tempat memproses minyak gamat, Gua Kelawar dan sangkar ikan. Kami telah menaiki bot laju untuk ke tempat sangkar ikan, tempat habitat helang dan Gua Kelawar. Ternyata Geoforest di pulau ini amat menarik dan kaya dengan pemandangan yang indah.

Tuesday, June 12, 2007

Titi Batang

CERPEN : TITI BATANG
Oleh : Rohaidah binti Yon.


RAHSIA itu tersimpan kemas di peti hatinya. Hanya dia sahaja yang memegang kunci amanah itu tanpa dihidu oleh orang lain. Terasa sukar baginya untuk mengotakan hajat Tok Leh kerana mengotakan hajatnya serupa dengan memisahkan ikatan yang sewajarnya menemui satu titik kejernihan. Kesukaran yang semakin tidak menemui satu titik penyelesaian menyebabkan Tok Leh merasakan keputusan yang dibuatnya itu adalah yang terbaik. Ayah begitu sukar untuk menerima kehendak Tok Leh, sebagaimana Tok Leh sukar untuk menerima keputusan muktamad Ayah kerana mereka berdua berada di dua dunia yang berlainan. Dunia yang akhirnya merenggangkan dua hubungan yang terjebak dalam warna-warna kelabu ikatan kekeluargaan.

Kenangan semalam



Bulan Mei dan Jun 2007 membawa kenangan yang indah dalam helaian waktuku. Sempena Harim Guru 2007, Dewan Siswa menganjurkan pertandingan "Guruku Sayang" . Aku dan pelajar mendapat tempat pertama dalam pertandingan tersebut. Sekurang-kurangnya kemenangan ini dapat mengubat rasa kekalahan apabila tahun ini aku hanya dapat tempat "sagu hati" dalam pertandingan cerpen Hari Guru Peringkat Kebangsaan. Namun, aku pasrah dan menerima qada' dan qadar daripada Tuhan kerana tahun lalu Tuhan telah memberikan kemenangan kepadaku kerana aku Johan Kebangsaan. Kita sesungguhnya tidak boleh tamak dalam mengecapi kehidupan ini dan kebahagiaan dan kemanisan hidup haruslah dikongsi dengan orang lain. Pertandingan "Guruku Sayang" aku dan pelajar dapat menghadiri Majlis Hari Ibu dan minum petang bersama penyanyi "Mawi" di Golden Horses Kuala Lumpur juga bersama-sama dengan editor Dewan Sastera, Tatkala aku ke Langkawi untuk menghadiri Mesyuarat Laman Web Myschoolnet aku terserempak dengan penyanyi kegemaran anakku Syahmi iaitu Irwan Shah dari Indonesia. Aku telah memberinya surat di dalam kapal terbang agar dia menungguku di KLIA kerana untuk bergambar agar anakku boleh menatap wajahnya. Aku gembira dia menungguku dan kami berbual seketika dan bergambar.

Mengembara Ke laman Hatiku

Assalamualaikum dan selamat sejahtera. Dalam ruang waktu yang rencam, sesekali marilah kita sama-sama mengait pengalaman agar segalanya boleh dikongsi bersama.