Saturday, January 26, 2008

REZEKI MENUNAIKAN FARDU HAJI (2)


ALLAH MAHA KAYA. MAHA PEMURAH DAN MAHA PENYAYANG. Semasa di Mekah, abangku Rohaizat bin Yon (yang juga menunaikan fardu haji - seminggu lebih awal daripadaku) juga telah Allah berikannya rezeki. Semasa di Mekah beliau telah mendapat panggilan telefon daripada pihak Telekom bahawa beliau memenangi pertandingan cogan kata kreatif dan merupakan pemenang musim itu - kalau tidak silap November 2007. Sebelum wukuf di Arafah beliau dapat berita gembira itu dan antara pemenang pada tahun 2007 beliau dan pemenang yang lain akan ditandingkan sekali lagi untuk dipilih JUTAWAN. Sebagai bakal jutawan, beliau menerima pakej percutian di Beijing untuk menyaksikan sukan olimpik 2008. Hadiah telah disampaikan di Menara Telekom KL dan puteri-puteri abangku Fatin Zafira, Fatin Izni Izzati dan Fatin Alia Syaza mewakili ayah mereka.
Mungkin itu berkat beliau menjadi tetamu Allah. Juga berkat semasa di bumi suci tersebut beliau sering membantu insan-insan yang memerlukan. Walaupun abangku adalah jemaah haji, tetapi sebagai seorang doktor dan seorang berjawatan agak penting di Kementerian Kesihatan dia tetap membantu mereka yang sakit ketika di MINA dan lain-lain tempat meski itu bukan tugasnya - tetapi tugas orang-orang bawahannya, tetapi dasar kemanusiaan dia tetap membantu. Seperti mana satu ketika dahulu semasa di Malaysia - ketika aku dalam pejalanan ke Hospital Johor Bahru untuk menziarahi abah di Hospital JB aku terpandang kereta abangku di tepi jalan. Aku terperanjat kerana beliau dari KL juga mahu ke Hospital JB. Rupa-rupanya dia membantu beberapa orang yang terlibat dalam kemalangan ngeri. Memberikan bantuan pernafasan dan segala yang berkaitan dengan bantuan kecemasan. Ramai yang cedera parah dan ada yang meninggal dunia. Bajunya penuh dengan darah. Selepas itu tiba di hospital, bapaku pula koma di hadapan matanya.... Akhirnya dia sendiri menyelamatkan bapaku yang pengsan secara tiba-tiba. Mengepam dada dan lain-lain kerana ketika itu cuti umum... Doktor lambat tiba. hampir dua bulan bapaku di hospital. Dan selepas itu hampir dua tahun dia mengecap kemanisan hidup di dunia. Kini bapaku pergi buat selama-lamanya. Tetapi peristiwa abangku merawat sendiri abah di hospital tetap tidak akan beliau lupa sampai bila-bila.



No comments: