Thursday, January 10, 2008

sekembali dari Mekah




Syukur aku kehadrat Allah SWT kerana dengan limpah dan kurnianya aku selamat mengerjakan fardu haji - bermula tarikh 23Nov 2007 berakhir 6Jan2008 aku bermastautin di Tanah Arab. Aku bersyukur kerana dapat menatap wajah kaabah yang sering kurindukan. Selepas 8 hari aku berada di Madinah dan dapat mengerjakan solat berjemaah di masjid kesayangan Nabi Muhammad SAW sebanyak 40 waktu aku berangkat ke bandar suci Mekah.
Aku tidak dapat melupakan bagaimana ketika berada di Raudah untuk menziarahi makam nabi dan sahabatnya aku terpaksa bertarung dengan selaut manusia yang juga mahu ke sana. Himpitan dan tolakkan sentiasa berlaku. Satu ketika selepas dapat solat di Raudah dan mahu kembali ke hotel, aku tertinggal kasut yang diisi di dalam beg. Aku segera kembali ke Raudah walaupun dihalang pekerja masjid. Ya, Allah. Tiba-tiba sahaja ada pintu yang terbuka dan aku menuju ke Raudah. Dalam kumpulan manusia yang bertubuh tegap aku terpandang kasutku yang terjatuh. Rupa-rupanya Allah maha kaya, gara-gara kasut tertinggal rupa-rupanya Allah memberiku peluang untuk bersembahyang di sana dan berdoa di tempat mustajab tersebut. Luluh jiwaku dengan keajaiban yang Allah berikan kepadaku. Terima kasih Tuhan!
Di depan kaabah... Air mataku berderai. Betapa indahnya Masjidil Haram dan Kaabah yang menjadi kiblat umat Islam di seluruh dunia. Di sana aku berdoa memohon kebahagiaan dan keberkatan di dunia dan akhirat. Ketinggian ilmu dan limpahan rezeki di samping keampunan dosa ibu bapa, anak-anak, sanak saudara, sahabat handai dan umat Islam di seluruh dunia.
Kini aku di tanah air, Kaabah tetap melambai di depan mata. Rinduku menghijau semula. Air mataku tetap mengalir mengenangkan betapa aku bersyukur diberi peluang menjadi tetamu ALLAH.

1 comment:

Cikgu Sarkawi said...

Assalammualikum ya Hajjah,

Syukur Alhamdlillah, Puan dan Suami selamat kembali daripada menunaikan Rukun Islam Ke 5. Saya dan isteri terasa kemanisan suasana semasa di Mekah dan Madinah. Semoga kita dapat ke sana lagi. Ceritakanlah pengalaman manis hajah(jika ada gambar lagi baik) tentang ibadah haji agar dapat merangsang pembaca menunaikan haji dikala muda dan berkemampuan. TK