Sunday, September 7, 2008

Pencapaian

Kejayaan dalam Pertandingan penulisan cerpen sempena Perayaan Hari Guru Peringkat Kebangsaan & Negeri (anjuran Kementerian Pelajaran Malaysia)
2002 – Naib Johan (Kebangsaan) ; Johan (Negeri)
2003 – Saguhati (Kebangsaan); Johan (Negeri)
2004 – Naib Johan (Kebangsaan) ; Johan (Negeri)
2005 – Sagu Hati (Kebangsaan); Naib Johan (Negeri);
2006 – Johan (Kebangsaan & Negeri)
2007 – Sagu Hati (Kebangsaan); Ketiga (Negeri);
2008 – Johan (Kebangsaan & Negeri)

Hadiah Pertama Sayembara Mengarang Sempena 50 tahun Merdeka kategori cerpen, anjuran Bahagian Pengembangan Sastera Kebangsaan, Dewan Bahasa dan Pustaka Kuala Lumpur. Tajuk cerpen "Malar Hijau". Tempat kedua dimenangi oleh Sasterawan Negara Datuk Shahnon Ahmad dan Aminah Mokhtar. Majlis pada 29 Januari 2008 di Dewan Bankuet, Tingkat 1,DBP Kuala Lumpur.

Anugerah yang telah dicapai
  • Anugerah Guru Kreatif 2003,2004,2005 dan 2006 (peringkat sekolah)
  • Anugerah Guru Kreatif 2003 dan 2006 (Daerah Batu Pahat)

dan anugerah Tokoh Guru Cemerlang Kokurikulum Peringkat Negeri Johor 2008

Karya-karya tersiar di majalah Dewan Sastera.
Merupakan guru pembimbing kepada pelajar-pelajar yang menyertai pertandingan menulis cerpen sehingga peringkat kebangsaan dalam pertandingan cerpen Hari Guru dari tahun 2002 – 2008, (beberapa orang pelajarnya telah berjaya mendapat johan kebangsaan, naib johan, tempat ketiga dan sagu hati kebangsaan) .


Guru pembimbing bercerita “Cerita Rakyat” peringkat kebangsaan dan pelajarnya Mohd. Redzlan Bin Abd. Wahid merupakan Johan pertandingan tersebut bagi peringkat kebangsaan 2008 di Kangar, Perlis anjuran Perpustakaan Negara Malaysia.

Thursday, July 10, 2008

Teks Perutusan Kemerdekaan ke-51

Pada 25 Jun 2008 sehingga 28 Jun 2008 aku ke Ipoh, Perak kerana menghadiri mesyuarat Pembinaan Perutusan Kemerdekaan ke-51 untuk Yang Dipertuan Agong, Menteri Pelajaran dan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia. Aku mengucapkan ribuan terima kasih di atas kesudian Encik Sabri dari Kementerian Pelajaran Malaysia kerana memberi aku peluang untuk melaksanakan satu tugas yang aku kira amat sukar untuk dilaksanakan. Bukan mudah tugas tersebut tetapi aku banyak mempelajarinya daripada Encik Sabri yang begitu kaya dengan pengalaman dan ilmu pengetahuan. Moga-moga tahun hadapan terpilih lagi kerana bidang ini sesuatu yang baru dan aku amat berminat untuk memperdalaminya. Terima kasih Encik Sabri dan Kementerian Pelajaran Malaysia.
Buah cempedak di luar pagar,
ambil galah tolong jolokkan,
saya budah baru belajar,
kalau salah tolong tunjukkan.

Sunday, May 18, 2008

Penyampaian Hadiah Cerpen Hari Guru Kebangsaan 2008


Pada 16 Mei 2008 cerpenku Channa Satriatus telah memenangi tempat pertama kebangsaan sempena Sambutan Perayaan Hari Guru Kebangsaan 2008. Hadiah disampaikan oleh menteri pelajaran Malaysia. Majlis diadakan di Equatorial Melaka. Mungkin ini rezekiku setelah pulang dari menunaikan fardu haji awal Januari 2008. Sebelum ini aku memenangi sayembara mengarang cerpen 50 tahun Malaysia Merdeka. Walaupun menang aku teringatkan rakan-rakan yang lain seperti Dr.Ghazali Lateh dan Taufik. Mereka adalah penulis guru yang hebat.

Friday, May 9, 2008

Perkampungan Penulis Kebangsaan 2008

Hari ini ada latihan pusat di rumahku sebagai persediaan untuk ke Perkampungan Penulis Kebangsaan di Kuantan. Pelajar-pelajar diberikan latihan dalam penulisan, mendeklamasi sajak dan persembahan tradisional Johor. Pada 11 Mei pagi kami semua akan berangkat ke Kuantan. Dalam masa yang sama pada 12 Mei sekolahku SMK Tun Ismail menerima kehadiran pelajar-pelajar tingkatan 6 bawah. Tahun ini ramai pelajar yang mendaftar hampir 250! Pada 16 Mei aku akan ke Melaka, untuk menyambut sambutan hari Guru peringkat Kebangsaan 2008. Terima kasih Cikgu!

Monday, April 21, 2008

Majlis Perkahwinan ke Jakarta

Pada 11 hingga 13 April 2008 aku sekeluarga dan ibu mertuaku telah menghadirijemputan khawin di Jakarta. Pak Sumarno telah menghantar kad jemputan kepada keluargaku. Kebetulan semasa aku melancong ke sana pada tahun 2006 aku berkesempatan untuk mengunjunginya dan ini mengeratkan hubungan silaturahim yang terhenti seketika kerana kesebukkan kami semua. Seronok melihat adat dari negara lain. Majlis diadakan di gedung pejabat kerajaan dan suamiku telah memakai pakaian tradisi Iawa. Asalnya kami sekeluarga memakai baju oren yang ditempah khas. 13 April aku kembali ke Malaysia dan sebelum ke air port sempat berkunjung ke masjid yang kubahnya emas yang diwakafkan oleh seorang wanita yang dianugerahkan Allah kekayaan kerana tanah yang dibeli oleh suaminya seorang warganegara Arah mengandungi minyak! Tanah tersebut terletak di bumi Arab. Pasangan suami isteri itu telah membina sebuah masjid yang sangat indah bercirikan Masjidil Haram dan Al-Nabawi. Waktu yang singkat ketika di Jakarta tetap menarik sementelah pula makanannya yang enak. Maklum segala tempat dibawa oleh saudaraku. Keluarga Pak Sumarno tidak sombong walaupun mereka berada di atmosfera yang selesa. Taufan seorang jurutera syarikat minyak Inggeris. Lintang seorang ahli farmasi. Pengantin - Dimas juga seorang jurutera. Tetamu kebanyakannya mantan menteri kerana Pak Sumarno adalah mantan pegawai perhutanan.

Thursday, April 3, 2008

Gala Kokurikulum Kebangsaan 2008

Pada 28-29 Mac lalu aku dan Puan Masitah menghadiri Gala Kokurikulum peringkat kebangsaan di Pusat Kokurikulum Johor Baharu. Aku sebagai jurulatih menjadi guru pengiring bersama Puan Masitah. 5 pelajar kelasku termasuk Mohd.Redzlan membuat persembahan penglipurlara moden. Sebelum itu persembahannya dijangkakan adalah seperti dalam pertandingan yang biasa dilakukan oleh pelajarku, tetapi apabila pegawai dari Jabatan mahukan suatu kelainan aku terpaksa membuat skrip yang baru sepertimana kehendak JPNJ iaitu menceritakan tentang kepentingan kokurikulum pada pelajar. Alhamdulillah... pelajar-pelajarku mampu melakulkannya. 4 pelajar yang lain sebagai pelakon untuk memantapkan lagi penceritaan si penglipurlara.
Lebih seronok apabila dapat melihat kehebatan pelajar-pelajar dari daerah dan negeri lain membuat persembahan yang luar biasa. Sesuatu yang tidak pernah kulihat dan kekaguma itu masih terasan hingga hari ini. Tahniah Encik Azmi dan Encik Akmar.

Monday, March 17, 2008

Keputusan STPM 2007

Pada 11 Mac 2008 (Selasa) lalu STPM 2007 diumumkan dan aku sebagai guru yang mengajar pelajar-pelajar Tingkatan 6 2007 (Kesusasteraan Melayu) tentulah aku sangat gembira kerana pencapaian STPM tahun 2007 memperolehi keputusan 100 peratus lulus. Bagi subjek Kesusasteraan Melayu buat pertama kalinya keputusan 100 peratus. Kegembiraan lebih terasa kerana SMK Tun Ismail mendapat tempat ke 2 Cemerlang dalam negeri JOHOR dengan GPS 2.87 selepas SMK Tinggi Kluang mendapat tempat pertama dalam negeri Johor. Pelajar kelasku Mohd.Effendi Mohd.Yusuf mendapat pelajar terbaik pelajar istimewa STPM dalam negeri Johor apabila beliau mendapat A dalam Kesusasteraan Melayu C+ dalam Pengajian Am,BM dan Seni Visual. Lebih menggembirakan apabila Pelajar yang memperolehi A dalam Kesusasteraan Melayu ialah 11 orang. 5 orang pelajar perolehi B dan 3 orang C+. Alhamdulillah.... Mungkin berkat aku dan 2 lagi guru tingkatan 6 menunaikan fardu haji. Terima kasih Tuhan.

Monday, February 4, 2008

Kisah anakku yang bernama Muhammad Syahmi

Muhammad Syahmi... Itulah nama putera kesayanganku. Hari ini dia memberitahuku dia menjadi ketua kelas. Kelas agama - 5 Syaidina Umar setelah gagal terpilih menjadi ketua kelas sessi pagi 5 Bestari. Dapat menjadi ketua kelas seperti menang pilihanraya lagak kegembiraannya. Namun begitu aku menghulurkan salam TAHNIAH buatnya. Bukankah kanak-kanak sukakan pujian?
Sewaktu aku akan ke tanah suci Mekah (ketika akan bertolak ke KLIA dari Kelana Jaya) dialah orang yang paling teresak-esak menangis dan aku memeluknya. Aku juga hampir menitiskan airmata dan aku terkejut apabila dengan teresak-esak katanya, " DEKAT MEKAH UMI DOAKAN ABANG BERJAYA MENJADI ANGKASAWAN YE,UMI... DAN DOAKAN JUGA AGAR CERPEN ABANG BERTAJUK RX2...(akupun dah tak ingat tajuknya...) berjaya dihasilkan. Sampaikan salam abang juga buat Rasulullah ketika di Madinah sewaktu menziarahi makamnya..." Aku terkedu. Betul-betul rupanya dia mahu menjadi angkasawan. Sheikh Muzaphar adalah idolanya. Dalam telefon bimbitnya penuh dengan gambar Sheikh Muzaphar. Gambar roket Soyuz dan gambar pendaratan Sheikh Muzaphar ke bumi. Semuanya diperolehi di kaca TV dan internet. Kata-kata anakku itu menyebabkan aku tidak jadi menangis. Kerana permintaannya agar aku mendoakannya itu sungguh memeranjatkan.... Berbanding adiknya yang tidak mengeluarkan airmata, tetapi hanya berulang-ulang kali meminta aku menyampaikan salam buat Rasulullah. "
"Jangan lupa tau umi doakan abang menjadi angkasawan." Itulah kata-katanya. Muhammad Syahmi yang penuh angan-angan dan ilusi telah berusaha menghasilkan cerpen dan juga novel. Novelnya yang bertajuk "Helang Man" hanya beberapa muka surat sahaja. Selepas itu terhenti. Beberapa juga cerpen yang kesemuanya fiksyen. Kesemua karyanya membayangkan dia adalah HERO. Komik bersirinya juga ada beberapa naskah dan beberapa buah puisi.
Sekembali dari Mekah, semasa di KLIA dia menunjukkan kepadaku sebuah komik yang siap dibukukan. Tajuknya aku sudah lupa..." Cerpen katanya dia tidak buat. Hanya komik.
Hai... Syahmi. Syahmi.

Selepas menulis frasa di atas, anakku memberi kritikan... Ejaan Sheikh Muzaphar dan Soyuz yang salah ejaannya kerana sebelum ini aku tulis Seikh Muzafar dan Soruz!!!! Hai.... Sudah lawan tauke nampaknya? Tahniah untuk Muhammad Syahmi. Dan semalam ketika aku membuka beg pakaiannya sewaktu dia bercuti ketika aku ke Mekah, aku terjumpa gambar Sheikh Muzaphar sebesar beg tersebut! Adiknya cemburu. Aku katakan wajah adiknya Muhammad Syakir Alif secomel Kapten Faiz!

Tuesday, January 29, 2008

KEMENANGAN YANG TIDAK DIDUGA 2008

Pada 29Januari 2008, hari Selasa bertempat di Dewan Bankuet,DBP Kuala Lumpur aku menghadiri majlis Penyampaian Hadiah Saayembara Mengarang Sempena 5O TAHUN MERDEKA dan aku memilih genre cerpen untuk pertandingan ini. Syukur alhamdulillah, aku telah mendapat johan dalam pertandingan ini. Tajuk cerpenku MALAR HIJAU. Majlis telah dirasmikan oleh YB Dato' Seri Syed Hamid Albar, Menteri Luar Negeri Malaysia. Tempat kedua dimenangi oleh Prof Emeritus Dato' Shahnon Ahmad dengan cerpennya bertajuk Papan Sekeping. Tempat kedua seterusnya Aminah Mokhtar dengan cerpennya Istana Cinta Ayah. Ketiga Abdul Rahman Che Mat, cerpennya Seekor Anjing Kurap dan Sebungkus Nasi dan tempat ketiga seterusya Mahizan Hussain dengan tajuk cerpennya Lirik Jazz Red Baker. SAGU HATI pula Wahyu Budiwa Rendra A.Wahid,Haji Mohamed Ayob Yasin, Zul Fikri Zamir Mohamad Munir, Ahmad Nazri Mohd.Sham, Shahnon Ahmad,Asmidar Alias, Masniah Kalyubi, Rahimah Muda, Nor Faridah Abdul Manaf dan Ruhaini Matdarin.
Pada majlis itu aku ingin bertemu Mahaguruku semasa mengajarku subjek Penulisan Kreatif, siapa lagi kalau bukan Dato' Shahnon Ahmad. Malangnya beliau tidak hadir. Namun aku mengucapkan ribuan terima kasih dengan beliau kerana banyak membimbingku. Semasa di universiti Cerpen Gingga Maru terhasil dan tersiar di Dewan Sastera kerana bimbingannya. Terima kasih Dato'.

Sunday, January 27, 2008

ANUGERAH JUARA LAGU KE 22.

Aku tidak pernah ketinggalan menonton anugerah Juara Lagu sejak dahulu hinggalah sekarang. Tadi aku telahpun menontonnya sambil menyiapkan kerja sekolah dan beberapa tekaanku sebagai juri profesional tidak rasmi di rumah ada yang tepat dan tidak. Cuma aku tidak berapa setuju dengan persembahan terbaik. Aku kasihan dengan peserta-peserta yang buat persembahan menarik disertai vokal yang mantap dan SENTIASA ADA KELAINAN! kerana aku pernah menyaksikan persembahan artis lelaki tersebut di hotel dan persembahan pada malam itu tidak ada kelainan. Stariotaip. Bila artis itu keluar sahaja ada ahli keluarga yang menjerit "mesti ada silap mata! Tengoklah.." Rupa-rupanya tepat. Sebagai peminat, aku mahukan kelainan daripadanya.
Aku cukup suka dengan persembahan Datuk Siti, Aisyah dan Ramlah Ram. Mendengar suara Ramlah Ram aku seperti dibuai gelombang. Suaranya terlalu asyik. Aku terpesona dengan senikata lagu Dirgahayu tersebut. (Begitu juga dengan lagu Samudera.) Terlalu puitis. Pengunaan unsur tanah, air, api dan angin membuai perasaan. Nasib baik vokal terbaik dan kategori yang lain ada markah dari juri.... JIKA TIDAK ....... ANDA SENDIRI TAHU RENTAK DAN PLOT KESUDAHANNYA. Namun begitu sekalung tahniah kepada peserta-peserta yang memberikan persembahan yang terbaik... Dan mantap, walaupun di sudut hati mereka mengharapkan minda penontonnya bijak membuat pengundian.

Melihat artis yang melaram dengan baju yang mahal tetapi murah dari segi kesopanan.... Berkemban, belah sana sini dan ada yang pendek.... Sudah tiba masanya mereka BERHIJRAH DALAM KEHIDUPAN, daripada yang tidak elok kepada yang elok dan aku berdoa mereka semua berpakaian lebih baik pada masa akan datang. Amin. Biarlah hari ini lebih baik daripada hari semalam dan hari esok lebih baik daripada hari ini. Kerana kita BARU SAHAJA MENYAMBUT MAAL HIJRAH. Tahun baru dalam kalender Islam.

Saturday, January 26, 2008

REZEKI MENUNAIKAN FARDU HAJI (2)


ALLAH MAHA KAYA. MAHA PEMURAH DAN MAHA PENYAYANG. Semasa di Mekah, abangku Rohaizat bin Yon (yang juga menunaikan fardu haji - seminggu lebih awal daripadaku) juga telah Allah berikannya rezeki. Semasa di Mekah beliau telah mendapat panggilan telefon daripada pihak Telekom bahawa beliau memenangi pertandingan cogan kata kreatif dan merupakan pemenang musim itu - kalau tidak silap November 2007. Sebelum wukuf di Arafah beliau dapat berita gembira itu dan antara pemenang pada tahun 2007 beliau dan pemenang yang lain akan ditandingkan sekali lagi untuk dipilih JUTAWAN. Sebagai bakal jutawan, beliau menerima pakej percutian di Beijing untuk menyaksikan sukan olimpik 2008. Hadiah telah disampaikan di Menara Telekom KL dan puteri-puteri abangku Fatin Zafira, Fatin Izni Izzati dan Fatin Alia Syaza mewakili ayah mereka.
Mungkin itu berkat beliau menjadi tetamu Allah. Juga berkat semasa di bumi suci tersebut beliau sering membantu insan-insan yang memerlukan. Walaupun abangku adalah jemaah haji, tetapi sebagai seorang doktor dan seorang berjawatan agak penting di Kementerian Kesihatan dia tetap membantu mereka yang sakit ketika di MINA dan lain-lain tempat meski itu bukan tugasnya - tetapi tugas orang-orang bawahannya, tetapi dasar kemanusiaan dia tetap membantu. Seperti mana satu ketika dahulu semasa di Malaysia - ketika aku dalam pejalanan ke Hospital Johor Bahru untuk menziarahi abah di Hospital JB aku terpandang kereta abangku di tepi jalan. Aku terperanjat kerana beliau dari KL juga mahu ke Hospital JB. Rupa-rupanya dia membantu beberapa orang yang terlibat dalam kemalangan ngeri. Memberikan bantuan pernafasan dan segala yang berkaitan dengan bantuan kecemasan. Ramai yang cedera parah dan ada yang meninggal dunia. Bajunya penuh dengan darah. Selepas itu tiba di hospital, bapaku pula koma di hadapan matanya.... Akhirnya dia sendiri menyelamatkan bapaku yang pengsan secara tiba-tiba. Mengepam dada dan lain-lain kerana ketika itu cuti umum... Doktor lambat tiba. hampir dua bulan bapaku di hospital. Dan selepas itu hampir dua tahun dia mengecap kemanisan hidup di dunia. Kini bapaku pergi buat selama-lamanya. Tetapi peristiwa abangku merawat sendiri abah di hospital tetap tidak akan beliau lupa sampai bila-bila.



Rezeki menunaikan fardu haji


Syukur alhamdulillah... dengan izin Allah, Allah memberikan aku rezeki. Rezeki yang tidak disangka. Cerpenku Malar Hijau yang kuhasilkan untuk menyertai Sayembara Mengarang Cerpen sempena 50 tahun Merdeka mendapat tempat ? (masih belum diketahui lagi) dalam majlis penyampaian hadiah yang akan berlangsung di DBP Kuala Lumpur pada 29Jan 2008. Sudah hampir setahun pertandingan itu berlalu, aku ingatkan Malar Hijau hanya tinggal Malar Hijau.... Rupa-rupanya rezeki menyebelahiku. Sebenarnya Malar Hijau aku mahu jadikan sebuah novel tetapi kekangan waktu menyebabkan aku memilih genre cerpen. Sekembali dari Kuala Lumpur akan kunyatakan tempat ke berapakah kedudukanku dalam pertandingan tersebut. TERIMA KASIH YA, TUHAN.

Thursday, January 10, 2008

sekembali dari Mekah




Syukur aku kehadrat Allah SWT kerana dengan limpah dan kurnianya aku selamat mengerjakan fardu haji - bermula tarikh 23Nov 2007 berakhir 6Jan2008 aku bermastautin di Tanah Arab. Aku bersyukur kerana dapat menatap wajah kaabah yang sering kurindukan. Selepas 8 hari aku berada di Madinah dan dapat mengerjakan solat berjemaah di masjid kesayangan Nabi Muhammad SAW sebanyak 40 waktu aku berangkat ke bandar suci Mekah.
Aku tidak dapat melupakan bagaimana ketika berada di Raudah untuk menziarahi makam nabi dan sahabatnya aku terpaksa bertarung dengan selaut manusia yang juga mahu ke sana. Himpitan dan tolakkan sentiasa berlaku. Satu ketika selepas dapat solat di Raudah dan mahu kembali ke hotel, aku tertinggal kasut yang diisi di dalam beg. Aku segera kembali ke Raudah walaupun dihalang pekerja masjid. Ya, Allah. Tiba-tiba sahaja ada pintu yang terbuka dan aku menuju ke Raudah. Dalam kumpulan manusia yang bertubuh tegap aku terpandang kasutku yang terjatuh. Rupa-rupanya Allah maha kaya, gara-gara kasut tertinggal rupa-rupanya Allah memberiku peluang untuk bersembahyang di sana dan berdoa di tempat mustajab tersebut. Luluh jiwaku dengan keajaiban yang Allah berikan kepadaku. Terima kasih Tuhan!
Di depan kaabah... Air mataku berderai. Betapa indahnya Masjidil Haram dan Kaabah yang menjadi kiblat umat Islam di seluruh dunia. Di sana aku berdoa memohon kebahagiaan dan keberkatan di dunia dan akhirat. Ketinggian ilmu dan limpahan rezeki di samping keampunan dosa ibu bapa, anak-anak, sanak saudara, sahabat handai dan umat Islam di seluruh dunia.
Kini aku di tanah air, Kaabah tetap melambai di depan mata. Rinduku menghijau semula. Air mataku tetap mengalir mengenangkan betapa aku bersyukur diberi peluang menjadi tetamu ALLAH.