Tuesday, June 19, 2007

Memulakan P&P di sekolah

Pada hari Jumaat, 15 Jun -19 Jun 2207 aku memulakan tugas mengajar. Banyak yang tertinggal dalam bab yang sepatutnya aku telah lama aku kupas. Terutama kelas 5 Fitrah dan Tingkatan 6 Atas Terbilang. Subjek Kesusasteraan Melayu yang banyak tajuknya terutama kepada pelajar tingkatan 6 benar-benar menyebabkan aku perlu bekerja dengan lebih keras lagi. Pening juga... Minit mesyuarat majalah ssekolah, minit mesyuarat Kesusasteraan Melayu, laporan Pelan Tindakan juga belum aku laksanakan...

Hari ini aku juga gembira kerana kejayaan 2 pelajar yang kubimbing. Pelajar pertama seorang perempuan- Suhada namanya. Sejak dari tingkatan 5 aku mengajarnya dalam mata pelajaran Kesusasteraan Melayu. Dia merupakan kelas tercorot, 5 KS 2. Aku katakan kepadanya, kelas apapun dia berada jika dia rajin belajar, kejayaan akan menjadi miliknya. Aku cabar dia belajar rajin-rajin agar dapat pergi tingkatan 6. Alhamdulillah... Dia dapat A dalam subjek yang kuajar dalam STPM. Kini dia bakal menjadi pelajar universiti pula dalam jurusan Kesusasteraan dengan pendidikan. Bakal menjadi guru! Siapa sangka?
Manakala seorang lagi... Rahizul. Dia mengambil STPM sebanyak 3 kali. Kali pertama semasa dalam tingkatan 6. Keputusannya hanya sederhana. Aku suruhnya ambil sekali lagi, tetapi malangnya dia ambil sambil bekerja menyebabkan keputusannya sangat teruk. Aku katakan kepadanya jika ingin berjaya harus ada pengorbanan. Berhenti kerja. Rajin-rajin berdoa kepada Allah. Bangun tengah malam. Kali ini dia benar-benar ikut kata-kataku. Walaupun aku bukan guru kelasnya lagi, tetapi perkhidmatan nasihatku tetap berterusan. Hasilnya STPMnya kali ketiga cemerlang, dan tadi dia menghubungiku dia dapat melanjutkan pelajaran ke UPSI dalam jurusan Seni dengan pendidikan. Moga apa yang kulakukan terhadap anak-anak didikku, juga akan dilakukan oleh insan lain bernama guru terhadap anakku sendiri. Suatu masa nanti. Insaallah...

No comments: