Monday, February 4, 2008

Kisah anakku yang bernama Muhammad Syahmi

Muhammad Syahmi... Itulah nama putera kesayanganku. Hari ini dia memberitahuku dia menjadi ketua kelas. Kelas agama - 5 Syaidina Umar setelah gagal terpilih menjadi ketua kelas sessi pagi 5 Bestari. Dapat menjadi ketua kelas seperti menang pilihanraya lagak kegembiraannya. Namun begitu aku menghulurkan salam TAHNIAH buatnya. Bukankah kanak-kanak sukakan pujian?
Sewaktu aku akan ke tanah suci Mekah (ketika akan bertolak ke KLIA dari Kelana Jaya) dialah orang yang paling teresak-esak menangis dan aku memeluknya. Aku juga hampir menitiskan airmata dan aku terkejut apabila dengan teresak-esak katanya, " DEKAT MEKAH UMI DOAKAN ABANG BERJAYA MENJADI ANGKASAWAN YE,UMI... DAN DOAKAN JUGA AGAR CERPEN ABANG BERTAJUK RX2...(akupun dah tak ingat tajuknya...) berjaya dihasilkan. Sampaikan salam abang juga buat Rasulullah ketika di Madinah sewaktu menziarahi makamnya..." Aku terkedu. Betul-betul rupanya dia mahu menjadi angkasawan. Sheikh Muzaphar adalah idolanya. Dalam telefon bimbitnya penuh dengan gambar Sheikh Muzaphar. Gambar roket Soyuz dan gambar pendaratan Sheikh Muzaphar ke bumi. Semuanya diperolehi di kaca TV dan internet. Kata-kata anakku itu menyebabkan aku tidak jadi menangis. Kerana permintaannya agar aku mendoakannya itu sungguh memeranjatkan.... Berbanding adiknya yang tidak mengeluarkan airmata, tetapi hanya berulang-ulang kali meminta aku menyampaikan salam buat Rasulullah. "
"Jangan lupa tau umi doakan abang menjadi angkasawan." Itulah kata-katanya. Muhammad Syahmi yang penuh angan-angan dan ilusi telah berusaha menghasilkan cerpen dan juga novel. Novelnya yang bertajuk "Helang Man" hanya beberapa muka surat sahaja. Selepas itu terhenti. Beberapa juga cerpen yang kesemuanya fiksyen. Kesemua karyanya membayangkan dia adalah HERO. Komik bersirinya juga ada beberapa naskah dan beberapa buah puisi.
Sekembali dari Mekah, semasa di KLIA dia menunjukkan kepadaku sebuah komik yang siap dibukukan. Tajuknya aku sudah lupa..." Cerpen katanya dia tidak buat. Hanya komik.
Hai... Syahmi. Syahmi.

Selepas menulis frasa di atas, anakku memberi kritikan... Ejaan Sheikh Muzaphar dan Soyuz yang salah ejaannya kerana sebelum ini aku tulis Seikh Muzafar dan Soruz!!!! Hai.... Sudah lawan tauke nampaknya? Tahniah untuk Muhammad Syahmi. Dan semalam ketika aku membuka beg pakaiannya sewaktu dia bercuti ketika aku ke Mekah, aku terjumpa gambar Sheikh Muzaphar sebesar beg tersebut! Adiknya cemburu. Aku katakan wajah adiknya Muhammad Syakir Alif secomel Kapten Faiz!