Saturday, June 30, 2007

Hari Terbuka/Gotong Royong Perdana


Hari ini Sabtu. 30Jun 2007 sekolahku mengadakan majlis Hari Terbuka dan Gotong Royong Perdana. Sebagai guru kelas Tingkatan 6 atas, aku berharap dapat berjumpa dengan ibu bapa kerana anak-anak didikku akan menduduki peperiksaan STPM sekali lagi. Pelajar di kelasku hanya ada 16 orang, daripada jumlah itu hanya 3 orang pelajar sahaja yang tidak datang bertemankan ibu atau bapanya.

Selepas jam sebelas, aku melihat pelajar-pelajar tingkatan 6 atas dan 6 bawah menyiapkan tugasan yang diamanahkan iaitu mengecat bangunan/kelas tingkatan 6 bawah dan membuat lanskap. Walaupun mereka tidak profesional, ternyata mereka memberikan kerjasama yang baik kepada PERTINA. Terima kasih

Friday, June 29, 2007

Bonda


Kini bonda sepi
kekasihnya pergi
airmata bonda mengalir di pipi
bonda menyulam kisah silam
datang dan pergi
dalam helaian diari.

Bonda,
jangan sepi lagi
kami sentiasa ada di sini
menyulam mimpi
meniti hari.

Santapan untuk ayahanda.


Terimalah hidangan ini
buat santapan untuk ayahanda,
Semangkuk doa
sedulang ayat-ayat suci,
sebakul sedekah yang kutitipkan
buat mereka yang dahagakan pertolongan.

Moga dengan santapan ini
ayahanda tidak akan lapar
tidak akan dahaga,
kerana dengan
santapan beginilah
ayahanda akan aman.

Thursday, June 28, 2007

Kehadiran DBP


Hari ini 28 Jun 2007, DBP Kuala Lumpur telah datang ke sekolahku untuk menyempurnakan majlis penyampaian hadiah "Guru Kesayanganku" yang dimenangi oleh pelajarku Nor Sadiah binti Sahir dan juga aku yang turut menerima hadian. Di samping itu juga disampaikan MDK-Majalah dalam kelas yang bertujuan untuk membantu pelajar dalam peperiksaan SPM dan juga yang berminat dalam bidang penulisan. Petangnya pula aku ke Tabung Haji, untuk bergambar dan mengambil buku kesihatan untuk menunaikan fardu haji. Apakah akan dapat ke sana tahun ini........ Hanya Allah sahaja yang maha mengetahui. Insyaallah.

Tuesday, June 26, 2007

Kerinduan.

Rindu ini tidak pernah padam
bagai bintang menemani malam
bagai bulan di celah awan
bagai mentari mengiring siang.

Rindu ini tidak pernah padam,
bagai bunga dengan tangkainya
bagai pelita dengan sumbunya,
sukar untuk melenyapkan
jenakamu yang bersahaja.

Abah... Tetap dalam kenangan.

Puisi buat Abah

Helaian hari berlalu,
setiap detik tidak pernah kulupakan
bunga-bunga kenangan
dalam rimbun kasih sayangmu.
Setahun berlalu,
segalanya masih hijau,
dengan tabah kaumenahan derita
penyakit yang menjadi rahsia,
terus membarah dan menyusuri
tiap urat nadimu.

Terimalah hadiah
buat santapanmu di alam kekal
Alfatihah buatmu, Abah....

Monday, June 25, 2007

Abah tersayang.

Hari ini genap setahun abahku meninggal dunia. sebenarnya sedih rasanya kerana bila dia sudah tiada, terasa kerinduannya. Kadangkala dahulu semasa allahyarham masih ada, dia sentiasa merindui masakanku. Kini dia sudah tiada.... Alfatihah untuknya.

Risau...risau

Hai, betul-betul hidup ini penuh dengan pengorbanan! Semenjak aku sibuk sahaja, pelajaran anak-anakku merosot habis! Ya, Allah.... Kupohon kepadaMu agar mereka kembali cemerlang dan aku akan berusaha memperbaiki kelemahanku sebagai seorang ibu.... Moga selepas ini situasi kembali seperti biasa, aku tidak akan sibuk lagi. Keluarga menjadi keutamaanku...

Guru cemerlang

Semalam aku dipanggil taklimat untuk menjadi guru cemerlang. Kalau diikutkan hati aku mahu sahaja menjadi guru cemerlang, tetapi untuk menjadi guru cemerlang bukannya senang. Banyak pengorbanan yang perlu dilakukan. Pertamanya selalu berjauhan dengan keluarga... Banyak kerja. Aku sebenarnya tidak berminat untuk menjadi pentadbir kerana aku lebih suka bersama pelajar.... Oleh itu menjadi guru cemerlang adalah yang sebaik-baiknya kerana mudah untuk menuju ke DG yang ke seterusnya. Aku sekarang ini DG 44, kalau aku mohon Guru Cemerlang dan jika berjaya, Aku dengan mudah untuk ke DG 48 dan seterusnya.... Tetapi entahlah...

Tuesday, June 19, 2007

Memulakan P&P di sekolah

Pada hari Jumaat, 15 Jun -19 Jun 2207 aku memulakan tugas mengajar. Banyak yang tertinggal dalam bab yang sepatutnya aku telah lama aku kupas. Terutama kelas 5 Fitrah dan Tingkatan 6 Atas Terbilang. Subjek Kesusasteraan Melayu yang banyak tajuknya terutama kepada pelajar tingkatan 6 benar-benar menyebabkan aku perlu bekerja dengan lebih keras lagi. Pening juga... Minit mesyuarat majalah ssekolah, minit mesyuarat Kesusasteraan Melayu, laporan Pelan Tindakan juga belum aku laksanakan...

Hari ini aku juga gembira kerana kejayaan 2 pelajar yang kubimbing. Pelajar pertama seorang perempuan- Suhada namanya. Sejak dari tingkatan 5 aku mengajarnya dalam mata pelajaran Kesusasteraan Melayu. Dia merupakan kelas tercorot, 5 KS 2. Aku katakan kepadanya, kelas apapun dia berada jika dia rajin belajar, kejayaan akan menjadi miliknya. Aku cabar dia belajar rajin-rajin agar dapat pergi tingkatan 6. Alhamdulillah... Dia dapat A dalam subjek yang kuajar dalam STPM. Kini dia bakal menjadi pelajar universiti pula dalam jurusan Kesusasteraan dengan pendidikan. Bakal menjadi guru! Siapa sangka?
Manakala seorang lagi... Rahizul. Dia mengambil STPM sebanyak 3 kali. Kali pertama semasa dalam tingkatan 6. Keputusannya hanya sederhana. Aku suruhnya ambil sekali lagi, tetapi malangnya dia ambil sambil bekerja menyebabkan keputusannya sangat teruk. Aku katakan kepadanya jika ingin berjaya harus ada pengorbanan. Berhenti kerja. Rajin-rajin berdoa kepada Allah. Bangun tengah malam. Kali ini dia benar-benar ikut kata-kataku. Walaupun aku bukan guru kelasnya lagi, tetapi perkhidmatan nasihatku tetap berterusan. Hasilnya STPMnya kali ketiga cemerlang, dan tadi dia menghubungiku dia dapat melanjutkan pelajaran ke UPSI dalam jurusan Seni dengan pendidikan. Moga apa yang kulakukan terhadap anak-anak didikku, juga akan dilakukan oleh insan lain bernama guru terhadap anakku sendiri. Suatu masa nanti. Insaallah...

Thursday, June 14, 2007

Alamak, mana beg aku?


Hari ini, hari yang kelakar.... Apa tidaknya, selepas aku sampai ke Lapangan Terbang senai, aku dan kawan-kawan menunggu beg yang penuh dengan coklat. Tapi bagaikan menanti buah yang tidak gugur, aku tidak namak kami semua bakal memperolehi beg kami. Dalam keletihan (kerana baru habis mesyuarat di Langkawi) kami melaporkan hal ini kepada pegawai Mas yang bertugas. Rupa-rupanya beg kami masih ada di KLIA. Ini memandangkan semasa di Langkawi pesawat kami lewat tiba, hampir jam satu tengah hari barulah kami diterbangkan oleh burung gergasi itu menuju ke KL. Sampai di KL, dalam keadaan tergesa-gesa, kami menaiki pesawat lain untuk ke Senai. Dalam keadaan yang tergesa-gesa, waktu yang singkat, sudah pasti beg kami tidak sempat dipindahkan ke pesawat tersebut. Akhirnya burung besi itu mendarat ke Senai, beg kami masih di KLIA! Alahai dah nasib

Wednesday, June 13, 2007

Sayonara Pulau Lagenda



Hari ini 14 Jun 2007 (Khamis) saya dan rakan-rakan mula meninggalkan Pulau Lagenda yang indah ini untuk bertemu keluarga setelah selesai mesyuarat Pembangunan Laman Web MySchoolnet dengan pihak Kementerian Pelajaran. Banyak ilmu yang kuperolehi di sini dan sesungguhnya aku gembira mendapat sesuatu yang tidak aku ketahui dan menerang mindaku yang selama ini kelabu dengan dunia IT. Harapan, moga kaca bertukar permata, semoga permata sentiasa bercahaya. Cahayanya menerang maya dan membiasi insan-insan yang lain. Insaallah...

Memori semalam di Pulau Lagenda

Pulau Lagenda


Pada 13 Jun 2007 (Rabu) saya dan rakan-rakan peserta Mesyuarat Pembangunan Laman Web Schoolnet telah melawat sekitar Pulau Lagenda-Pulau Langkawi. Antara tempat yang kami lawati ialah tempat memproses minyak gamat, Gua Kelawar dan sangkar ikan. Kami telah menaiki bot laju untuk ke tempat sangkar ikan, tempat habitat helang dan Gua Kelawar. Ternyata Geoforest di pulau ini amat menarik dan kaya dengan pemandangan yang indah.

Tuesday, June 12, 2007

Titi Batang

CERPEN : TITI BATANG
Oleh : Rohaidah binti Yon.


RAHSIA itu tersimpan kemas di peti hatinya. Hanya dia sahaja yang memegang kunci amanah itu tanpa dihidu oleh orang lain. Terasa sukar baginya untuk mengotakan hajat Tok Leh kerana mengotakan hajatnya serupa dengan memisahkan ikatan yang sewajarnya menemui satu titik kejernihan. Kesukaran yang semakin tidak menemui satu titik penyelesaian menyebabkan Tok Leh merasakan keputusan yang dibuatnya itu adalah yang terbaik. Ayah begitu sukar untuk menerima kehendak Tok Leh, sebagaimana Tok Leh sukar untuk menerima keputusan muktamad Ayah kerana mereka berdua berada di dua dunia yang berlainan. Dunia yang akhirnya merenggangkan dua hubungan yang terjebak dalam warna-warna kelabu ikatan kekeluargaan.

Kenangan semalam



Bulan Mei dan Jun 2007 membawa kenangan yang indah dalam helaian waktuku. Sempena Harim Guru 2007, Dewan Siswa menganjurkan pertandingan "Guruku Sayang" . Aku dan pelajar mendapat tempat pertama dalam pertandingan tersebut. Sekurang-kurangnya kemenangan ini dapat mengubat rasa kekalahan apabila tahun ini aku hanya dapat tempat "sagu hati" dalam pertandingan cerpen Hari Guru Peringkat Kebangsaan. Namun, aku pasrah dan menerima qada' dan qadar daripada Tuhan kerana tahun lalu Tuhan telah memberikan kemenangan kepadaku kerana aku Johan Kebangsaan. Kita sesungguhnya tidak boleh tamak dalam mengecapi kehidupan ini dan kebahagiaan dan kemanisan hidup haruslah dikongsi dengan orang lain. Pertandingan "Guruku Sayang" aku dan pelajar dapat menghadiri Majlis Hari Ibu dan minum petang bersama penyanyi "Mawi" di Golden Horses Kuala Lumpur juga bersama-sama dengan editor Dewan Sastera, Tatkala aku ke Langkawi untuk menghadiri Mesyuarat Laman Web Myschoolnet aku terserempak dengan penyanyi kegemaran anakku Syahmi iaitu Irwan Shah dari Indonesia. Aku telah memberinya surat di dalam kapal terbang agar dia menungguku di KLIA kerana untuk bergambar agar anakku boleh menatap wajahnya. Aku gembira dia menungguku dan kami berbual seketika dan bergambar.

Mengembara Ke laman Hatiku

Assalamualaikum dan selamat sejahtera. Dalam ruang waktu yang rencam, sesekali marilah kita sama-sama mengait pengalaman agar segalanya boleh dikongsi bersama.